16 maut dalam kejadian tembakan disifatkan paling buruk di Kanada

Dalam kejadian selama 12 jam yang disifatkan pembunuhan terburuk pada era moden di negara berkenaan, seorang pegawai Polis Diraja Kanada (RCMP) berusia 23 tahun turut terkorban.

Anggota polis menyerahkan anjing milik penduduk ketika membuat sekatan jalan raya di lokasi kejadian tembakan di Nova Scotia. Gambar/ Reuters. | Astro Awani
Seorang lelaki bersenjata yang menyamar sebagai anggota polis membunuh sekurang-kurangnya 16 orang di Nova Scotia, Kanada, pada Ahad.

Dalam kejadian selama 12 jam yang disifatkan pembunuhan terburuk pada era moden di negara berkenaan, seorang pegawai Polis Diraja Kanada (RCMP) berusia 23 tahun turut terkorban.

Jurucakap polis mengumumkan ancaman sudah ditamatkan dengan kematian suspek, namun enggan mengesahkan laporan bahawa dia ditembak pasukan berkenaan, lapor Reuters.

Suspek dikenal pasti sebagai Gabriel Wortman, 51, yang bekerja sebagai doktor gigi palsu, menggunakan senjata api dan melakukan beberapa siri serangan di Nova Scotia.

Suspek yang memakai seragam polis juga mengubah suai keretanya supaya kelihatan seperti kenderaan peronda polis.

Pesuruhjaya RCMP, Brenda Lucki, mengesahkan seramai 16 orang mati akibat kejadian itu buat masa ini dan percaya kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan pengganas.

Suspek juga tidak mempunyai kaitan jelas dengan mangsa dan buat masa ini, polis masih menyiasat motif di sebalik kejadian itu.

Kejadian paling buruk dalam sejarah Kanada sebelum ini adalah pembunuhan 15 wanita oleh lelaki bersenjata dikenali sebagai 'Pembunuhan Montreal' pada 1989.


Kejadian tembakan rambang amat jarang berlaku di Kanada yang mempunyai undang-undang kawalan senjata yang lebih ketat daripada Amerika Syarikat.

Ketika kejadian, seluruh Kanada termasuk Nova Scotia, berada dalam perintah tinggal di rumah disebabkan pandemik COVID-19.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau memberi jaminan kerajaan akan membantu rakyat Nova Scotia dalam usaha untuk sembuh daripada tragedi berkenaan.