Restoran Nasi Kandar Pelita nafi tidak halal

Rangkaian restoran Nasi Kandar Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Pelita) hari ini menafikan dakwaan kononnya restoran itu tidak halal kerana ia dimiliki oleh penganut bukan Islam.

Pihak Nasi Kandar Pelita kecewa dengan pihak yang memfitnah restoran berkenaan sedangkan 25 cawangannya mempunyai sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). - Gambar fail (BERNAMA) | Astro Awani
Rangkaian Restoran Nasi Kandar Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Pelita) tampil sekali lagi menafikan bahawa restoran berkenaan tidak halal kerana dimiliki oleh penganut bukan Islam.

Penafian itu dibuat oleh Pengarah Eksekutif Pelita, Datuk D. Murugan, 47, selepas ianya menjadi tular di laman sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp sejak beberapa hari lalu kononnya restoran itu tidak halal kerana pemiliknya beragama Hindu.

Dalam sidang media di Butterworth hari ini, Murugan berkata, dia kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab yang telah memfitnah restoran tersebut sedangkan 25 cawangannya mempunyai Sijil Halal dari Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).

Justeru katanya, dia perlu tampil memberi penjelasan sebenar agar orang ramai tidak terkeliru dengan tohmahan tersebut dan berasa was-was untuk makan di restoran berkenaan.

“Saya sebagai seorang ahli perniagaan amat sensitif dengan persekitaran, selok belok perniagaan lebih-lebih lagi kadar peratusan pengunjung di Restoran Pelita 65 peratus adalah terdiri dari pengunjung Islam.

“Terus terang ingin saya nyatakan di sini saya amat kecewa dan mula patah semangat untuk meneruskan peranan sebagai pemegang saham minoriti dan bersedia untuk berundur sekiranya persoalan sama ada saya selaku beragama Hindu boleh atau tidak berkongsi perniagaan bersama rakan kongsi beragama Islam,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Menurut Murugan lagi, dia terlibat dalam perniagaan nasi kandar sejak berusia 25 tahun dan restoran Nasi Kandar Pelita yang pertama dibukanya ialah pada 1 Julai 1995 di Chai Leng Park, bersama pengasasnya Haji Kirudu Mohamed.

Pembabitannya di dalam perniagaan Nasi Kandar Pelita selaku bukan beragama Islam telah menimbulkan pelbagai fitnah dan tohmahan sehingga ada yang mempersoalkan sama ada boleh atau tidak dia yang beragama Hindu berkongsi perniagaan dengan orang Islam.

Dia berkata bahawa isu restoran nasi kandar itu tidak halal telahpun diperkatakan sejak tahun 2012 lagi dan ianya masih berlarutan sehingga sekarang.

Menurut Murugan, pihaknya sentiasa mendapatkan nasihat dari pendakwah bebas Datuk Samsuri Ahmad yang juga merupakan penasihat dan pemegang saham dalam Restoran Pelita bagi memastikan perjalanan restoran mengikut landasan Islam.